SETIAP INSAN MEMPUNYAI KELEBIHAN YANG BERBEZA. JANGAN PERNAH RASA RENDAH DIRI. TERUS BANGKIT. KERANA SETIAP INSAN ADALAH ISTIMEWA

Saturday 21 November 2015

Suami Saya Tidak Melakukannya!

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca sekalian.

Pada entry kali ini, kami akan membincangkan cerpen bab 7 yang bertajuk “Suami Saya Tidak Melakukannya!”. Di dalam cerpen ini, penulis telah menggunakan bahasa dan gabungan imaginasi yang baik serta cerpen ini juga berdasarkan pengalaman orang sekeliling kerana terdapat penggunaan kata ganti nama pertama iaitu menggunakan kata ganti nama “saya” yang mungkin juga merujuk kepada diri sendiri ataupun mewakili pihak lain.

            Bukan itu sahaja, cerpen ini telah dibahagikan kepada tiga bahagian kecil yang memaparkan jalan cerita di dalam cerpen ini. Pada bahagian pertama, penulis menceritakan tentang seorang wanita yang bernama Masitah yang hidup tanpa mengenali kasih sayang seorang lelaki termasuk ayahnya yang telah meninggal dunia sejak dia masih bayi lagi. Bukan itu sahaja, ibunya juga telah meninggal dunia sewaktu umurnya menginjak ke usia remaja. Di dalam bahagian ini juga, penulis telah menceritakan bagaimana Masitah menemui suaminya dan bermulalah kisah bahagia di antara mereka, sehingga pada suatu saat Masitah telah mengalami sakit untuk melahirkan zuriatnya bersama suaminya. Akan tetapi, perjalanan ceritanya sampai kemuncak cerita yang mana Masitah telah mengalami komplikasi untuk melahirkan anak dan terpaksa melalui proses kelahiran secara pembedahan.

            Pada bahagian kedua pula, penulis telah bermain dengan imaginasi yang sangat kreatif dengan pembaca kerana menimbulkan satu perasaan ingin tahu dan membuatkan para pembaca berfikir sejenak tentang jalan cerita pada bahagian ini. Hal ini demikian kerana, pada bahagian ini menceritakan tentang roh Masitah kerana dia kemungkinan telah meninggal dunia sewaktu melahirkan anak, dan anak di dalam kandungannya juga telah meninggal dunia. Selain itu, bahagian ini menceritakan tentang kehidupan suaminya yang lebih banyak mendekati Allah dan perubahan gaya hidupnya setelah Masitah telah meninggal dunia. Bukan itu sahaja, bahagian ini juga menceritakan tentang runtuhnya bangunan iaitu hotel binaan suami Masitah dan sangat menggemparkan negara. Gabungan idea dan imaginasi ini merupakan satu kelebihan kerana telah membawa para pembaca menghayati dan merumuskan sendiri impak yang boleh didapati dalam cerpen ini.

            Seterusnya adalah pada bahagian ketiga dan juga merupakan bahagian yang terakhir di dalam cerpen ini penulis telah menggunakan teknik imbas kembali. Hal ini dapat dibuktikan apabila watak Masitah teringat semula seorang lelaki tua yang mengajar ilmu al Quran di sebuah kampung berdekatan tempat kelahirannya dan akhirnya dituduh sebagai seorang pengganas dan dianggap sebagai ketua perancangan anak-anak muda yang merusuh. Perkara ini diingat semula oleh Masitah kerana suaminya telah ditangkap oleh pihak polis atas tuduhan melakukan letupan di hotel yang dibinanya. Kejadian ini amat merobek hati Masitah, tapi apakan daya ajal Tuhan menjemputnya terlebih dahulu dan hanya mampu melihat dari jauh. Pada pengakhiran cerita, penulis telah menimbulkan beberapa persoalan yang membuatkan para pembaca dibelenggu dengan jawapan sendiri.

            Akhir kalam, keseluruhan cerpen ini lebih menumpukan kepada pembaca wanita yang bergelar isteri supaya golongan wanita lebih memahami peranan dan perasaan wanita serta menyoroti apa itu nilai kesetiaan dan sikap tolong menolong dalam alam rumahtangga. Jalinan idea yang kreatif dan kritis dalam membangkitkan isu-isu tertentu telah menerbitkan rasa kesedihan dalam diri pembaca mampu memberikan impak yang positif bagi mendalami maksud tersirat di dalam cerpen “Suami Saya Tidak Melakukannya!”.

Friday 20 November 2015

SEUSAI IFTAR 9 ZULHIJJAH


Assalamualaikum dan salam sejahtera…

Entry pada kali ini berdasarkan cerpen “Seusai Iftar 9 Zulhijjah” yang telah dimuatkan dalam Dewan Sastera pada Februari 2003 dan telah memenangi Hadiah Sastera Darul Takzim IV pada tahun 2003.

“Seusai Iftar 9 Zulhijjah” merupakan kisah pengorbanan dan keredhaan atas apa yang diambil kembali Tuhan daripada kita. Kisah ini begitu unik kerana digarap dengan teliti apabila menggunakan kata ganti nama Saya dalam setiap watak yang bercerita. Ini memerlukan ketelitian dan pembaca harus fokus terhadap pembacaan kerana ia berubah mengikut watak.

Cerpen ini berkisar tentang seorang ayah yang yang redha dengan kepergian kesemua anaknya iaitu seramai enam orang; seorang lelaki dan lima perempuan. Mereka telah diambil nyawa ketika masih kecil dan merupakan anak-anak syurga. Putera lelaki telah kembali kepada Penciptanya pada bulan Ramadhan dan lima puteri pada bulan Zulhijjah. Bagaimana seorang bapa dan ibu yang dapat menerima ketentuan Ilahi ini begitu menyentuh hati. Satu-satunya anak lelakinya meninggal dunia dalam bulan Ramadhan ketika usianya belum lagi menginjak setahun akibat jangkitan paru-paru. Anak-anak perempuannya bernama Rita, Risa, Rima, Rina dan Raudah meninggal dunia akibat lemas ketika mandi di kawasan air terjun.

Cerpen ini merupakan imbas kembali ingatan seorang bapa ketika anak-anaknya masih hidup. Kesemua cerita itu dilengkapi dengan tanda anak-anak itu mahu meninggalkan dunia. Misalnya Rita mahu ke segera ke syurga, Risa mahu mati dalam bertudung, Rima-Rina pasangan kembar yang fragile dan Raudah tidak mahu hidup lama kerana tidak tega melihat agamanya dizalimi dan dianiaya.

Penghasilan cerpen ini oleh penulisnya iaitu Dr Mawar Safei yang mendapat cetusan idea daripada keratan akhbar yang dibacanya dan pengalaman peribadinya sendiri. Hasil daripada potongan keratan akhbar tersebut dapatlah cetusan idea dan berkembang menjadi cerpen yang mantap dengan pelbagai sumber rujukan.

Tuntasnya, sebagai seorang yang berminda kelas pertama, segala ujian yang diberikan perlu diterima dengan sabar dan redha kerana ada hikmah disebaliknya. Perlu diingat, apa sahaja dalam kehidupan ini adalah pinjaman dan ia adalah milik mutlak Allah.

"Marisa @ Merdeka"



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kita akan teruskan kupasan cerpen yang dimuatkan di dalam buku Inilah Karangan Saya : Narasi Penciptaan Cerpen karya Dr. Mawar Safei dengan karya yang seterusnya iaitu cerpen Marisa @ Merdeka. Cerpen Marisa @ Merdeka ini telah disiarkan di dalam Mingguan Malaysia pada 23 Ogos 1998 dan telah memenangi Hadiah Sastera Utusan Melayu - Public Bank pada tahun 1998. Cerpen ini bertemakan kemerdekaan namun, tidak seperti cerpen kebiasaan kerana Dr. Mawar Safei memaparkan suatu penceritaan yang berbeza yang membawa tema kemerdekaan.

           Watak di dalam cerpen ini ialah Marisa, seorang wanita berbangsa Russia yang berkahwin dengan seorang lelaki Malaysia (tidak diberi nama) ketika lelaki ini mengajar Bahasa Melayu di Russia. Marisa telah mengikut suaminya pulang ke Malaysia dan mengajar di universiti. Cerpen ini mengisahkan Marisa yang ingin bebas apabila dia diarahkan untuk memberhentikan sub persembahan teater tradisional sempena Hari Kemerdekaan Negara kerana  dikatakan membaurkacaukan seni lama. Marisa merasakan dirinya tidak bebas untuk berkarya. Dia berfikir adakah disebabkan dia berbangsa Russia maka karya dan usahanya dihalang.

"Saya kecewa, kanda. Makna diri yang sewajarnya punya rasa bebas, rasa merdeka, tiba-tiba diragut hebat. Saya tidak lagi mengerti sebenarnya. Fakulti menerima surat daripada panel, sub persembahan teater tradisional sempena Hari Kemerdekaan Negara saya diarahkan dihentikan serta merta. Saya dikatakan membaur kacau seni lama hanya itu sesungguhnya." 
(Mawar Safei, 2014 : 78)

         Kisah diteruskan dengan menceritakan latar belakang Marisa dan harapan Marisa terhadap kandungannya supaya dapat merasai kebebasan. Cerpen ini diakhiri dengan latar persembahan wayang kulit yang memaparkan gaya tradisional. Ketika ini Marisa amat menghargai seni yang dilihatnya dan membayangkan adunan dalam seni itu digarapkan di dalam pembangunan negara. Hal ini dapat dilihat bahawa Marisa amat mengharapkan kebebasan dan jiwa merdeka dalam diri setiap rakyat.

"Kanda, cerita diadun begitu mesra seperti bersatunya bumbu persembahan bertih, beras kunyit, tiga piak sirih pinang, air bunga melur. Alangkah indah melihat secara halus dan berseni kehidupan manusia multi negara kita yang tidak pernah lalai menghargai jiwa merdeka mereka."
(Mawar Safei, 2014: 80)

         Maka dapatlah disimpulkan bahawa cerpen yang dihasilkan oleh Dr. Mawar Safei ini memberi kelainan dalam memaparkan erti kebebasan yang sebenar. Tidak sekadar bebas daripada penjajahan bangsa luar sebaliknya turut bebas dari aspek jiwa dan minda.