SETIAP INSAN MEMPUNYAI KELEBIHAN YANG BERBEZA. JANGAN PERNAH RASA RENDAH DIRI. TERUS BANGKIT. KERANA SETIAP INSAN ADALAH ISTIMEWA

Saturday 28 November 2015

Petala Rengsa dalam Dada

Entri kali ini, kami akan membincangkan mengenai cerpen 8 yang bertajuk “Petala Rengsa dalam Dada”. Penulis telah meluahkan rasa kekecewaannya melalui cerpen ini di samping mahu berkongsi keriangan dan rasa bersyukur menerusi watak-watak yang ditampilkan. Kecewanya penulis tehadap kezaliman, ketidakadilan dan kesombongan sesama manusia yang berlaku di dunia ini. Justeru itu, penulis menggunakan latar dunia kerjaya seorang doktor dalam menggarap cerpen Petala Rengsa dalam Dada.

Cerpen ini dimulakan dengan peristiwa sekarang iaitu akibat yang berlaku hasil dari sikap seorang doktor yang angkuh dan tamak. Situasinya apabila seorang suami sedang menjawab soalan pemberita kepada isterinya yang masih terkejut dengan sekujur mayat yang dijumpai berlumuran darah terbaring di hadapan sebuah klinik swasta 24 jam. Melalui cerpen ini, penulis telah menggunakan teknik fragmentasi untuk plot yang seterusnya yang lebih bersifat imbas kembali atau penceritaan semula. Fragmen I adalah Kisah Kami yang memaparkan tentang watak lelaki dan isterinya mengenai si doktor dan isterinya, juga seorang doktor di klinik yang sama. Lelaki dan isterinya itu bercakap mengenai konsep klinik tersebut. Dalam fragmen ini juga, penulis memberikan latar bahawa kedua-dua lelaki saling bersahabat sejak kecil.

Fragmen II adalah Kisah Dia yang menampilkan watak seorang lelaki tua miskin yang mengalami komplikasi kencing manis. Lelaki tua tersebut merupakan seorang pengukir batu nisan dan pernah bekerja di bank berhampiran klinik 24 jam berkenaan sebagai pengawal keselamatan. Jadi, lelaki tua tersebut terpaksa datang ke klinik 24 jam itu untuk mendapatkan rawatan. Fragmen III pula adalah Kisah Saya yang menonjolkan kisah doktor klinik 24 jam (si suami). Fragmen ini memaklumkan tentang sikap dia dan isterinya yang taksub dengan kerjaya mereka sebagai doktor. Dalam fragmen ini juga mengandungi roh lelaki tua yang datang ke klinik untuk membayar hutang. Doktor yang ketakutan itu berlari keluar kerana lelaki tua itu membawa batu nisan menyebabkan berlakunya pertembungan dengan perompak yang melarikan diri ke dalam klinik tersebut.


Cerpen ini bergerak dalam satu waktu sahaja sekitar jam 3 hingga 4 atau 5 pagi. Kisah lelaki dan isteri yang sedang hamil, kisah roh lelaki pengukir nisan datang ke klinik, kisah perompak bank, kisah perompak tertikam doktor (kedua-duanya panik; doktor panik kerana didatangi hantu pengukir nisan sementara perompak panic kerana bunyi amaran penggera). Justeru itu, kami berpandangan bahawa cerpen ini menunjukkan satu situasi di mana watak-watak yang ditampilkan itu mengalami perasaan rengsa iaitu perasaan panik dan keresahan yang menggunung dalam diri. Idea penulis sangat kreatif kerana menggabungkan pengalaman peribadi beliau sendiri dan isu semasa yang sedang hangat diperkatakan. Oleh hal yang demikian, para pembaca boleh mengalami dan menghayati sendiri perasaan rengsa yang melanda dalam diri setiap watak melalui cerpen Petala Rengsa dalam Dada ini.