SETIAP INSAN MEMPUNYAI KELEBIHAN YANG BERBEZA. JANGAN PERNAH RASA RENDAH DIRI. TERUS BANGKIT. KERANA SETIAP INSAN ADALAH ISTIMEWA

Saturday 21 November 2015

Suami Saya Tidak Melakukannya!

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca sekalian.

Pada entry kali ini, kami akan membincangkan cerpen bab 7 yang bertajuk “Suami Saya Tidak Melakukannya!”. Di dalam cerpen ini, penulis telah menggunakan bahasa dan gabungan imaginasi yang baik serta cerpen ini juga berdasarkan pengalaman orang sekeliling kerana terdapat penggunaan kata ganti nama pertama iaitu menggunakan kata ganti nama “saya” yang mungkin juga merujuk kepada diri sendiri ataupun mewakili pihak lain.

            Bukan itu sahaja, cerpen ini telah dibahagikan kepada tiga bahagian kecil yang memaparkan jalan cerita di dalam cerpen ini. Pada bahagian pertama, penulis menceritakan tentang seorang wanita yang bernama Masitah yang hidup tanpa mengenali kasih sayang seorang lelaki termasuk ayahnya yang telah meninggal dunia sejak dia masih bayi lagi. Bukan itu sahaja, ibunya juga telah meninggal dunia sewaktu umurnya menginjak ke usia remaja. Di dalam bahagian ini juga, penulis telah menceritakan bagaimana Masitah menemui suaminya dan bermulalah kisah bahagia di antara mereka, sehingga pada suatu saat Masitah telah mengalami sakit untuk melahirkan zuriatnya bersama suaminya. Akan tetapi, perjalanan ceritanya sampai kemuncak cerita yang mana Masitah telah mengalami komplikasi untuk melahirkan anak dan terpaksa melalui proses kelahiran secara pembedahan.

            Pada bahagian kedua pula, penulis telah bermain dengan imaginasi yang sangat kreatif dengan pembaca kerana menimbulkan satu perasaan ingin tahu dan membuatkan para pembaca berfikir sejenak tentang jalan cerita pada bahagian ini. Hal ini demikian kerana, pada bahagian ini menceritakan tentang roh Masitah kerana dia kemungkinan telah meninggal dunia sewaktu melahirkan anak, dan anak di dalam kandungannya juga telah meninggal dunia. Selain itu, bahagian ini menceritakan tentang kehidupan suaminya yang lebih banyak mendekati Allah dan perubahan gaya hidupnya setelah Masitah telah meninggal dunia. Bukan itu sahaja, bahagian ini juga menceritakan tentang runtuhnya bangunan iaitu hotel binaan suami Masitah dan sangat menggemparkan negara. Gabungan idea dan imaginasi ini merupakan satu kelebihan kerana telah membawa para pembaca menghayati dan merumuskan sendiri impak yang boleh didapati dalam cerpen ini.

            Seterusnya adalah pada bahagian ketiga dan juga merupakan bahagian yang terakhir di dalam cerpen ini penulis telah menggunakan teknik imbas kembali. Hal ini dapat dibuktikan apabila watak Masitah teringat semula seorang lelaki tua yang mengajar ilmu al Quran di sebuah kampung berdekatan tempat kelahirannya dan akhirnya dituduh sebagai seorang pengganas dan dianggap sebagai ketua perancangan anak-anak muda yang merusuh. Perkara ini diingat semula oleh Masitah kerana suaminya telah ditangkap oleh pihak polis atas tuduhan melakukan letupan di hotel yang dibinanya. Kejadian ini amat merobek hati Masitah, tapi apakan daya ajal Tuhan menjemputnya terlebih dahulu dan hanya mampu melihat dari jauh. Pada pengakhiran cerita, penulis telah menimbulkan beberapa persoalan yang membuatkan para pembaca dibelenggu dengan jawapan sendiri.

            Akhir kalam, keseluruhan cerpen ini lebih menumpukan kepada pembaca wanita yang bergelar isteri supaya golongan wanita lebih memahami peranan dan perasaan wanita serta menyoroti apa itu nilai kesetiaan dan sikap tolong menolong dalam alam rumahtangga. Jalinan idea yang kreatif dan kritis dalam membangkitkan isu-isu tertentu telah menerbitkan rasa kesedihan dalam diri pembaca mampu memberikan impak yang positif bagi mendalami maksud tersirat di dalam cerpen “Suami Saya Tidak Melakukannya!”.

No comments:

Post a Comment