SETIAP INSAN MEMPUNYAI KELEBIHAN YANG BERBEZA. JANGAN PERNAH RASA RENDAH DIRI. TERUS BANGKIT. KERANA SETIAP INSAN ADALAH ISTIMEWA

Sunday 25 October 2015

Kemahasiswaan dan Ketukan di Pintu Kreativiti

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Untaian Rafik merupakan cerpen kedua yang terkandung di dalam buku Inilah Karangan Saya: Narasi Penciptaan Cerpen karya Dr. Mawar Safei. Cerpen Untaian Rafik ini telah memenangi Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank pada tahun 1995 dan turut disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada tahun 1995.

            Cerpen Untaian Rafik ini dihasilkan semasa Dr. Mawar Safei berada dalam jabatan geografi pada peringkat ijazah pertama sebelum mengkhusus dalam kesusasteraan Melayu. Maka terdapat istilah-istilah geografi yang diguna pakai dalam cerpen Untaian Rafik ini. Dr. Mawar Safei mendapati itu juga merupakan strategi beliau diterima agak cepat dalam jagat pencerpenan Melayu dengan memenangi beberapa hadiah sastera melalui karya cerpen seperti itu.

            Cerpen ini telah dicatat oleh Panel Hakim Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank 1995 sebagai:

...digerakkan oleh unsur sains, sekali gus komputer. Watak "Aku" menterjemah makna yang dimercupkan oleh istilah, frasa dan penemuan dalam kedua-dua bidang tersebut untuk dimaknakan pula dalam kehidupan realitinya. Cerpen ini diolah dengan teknik yang membawa kepada dimensi baru dalam pencerpenan tanah air dan jika dibuat penelitian secara rambang, inilah teknik yang terus diterapkan oleh Mawar Shafei menerusi cerpen-cerpennya. Inilah suatu warna khas yang muncul daripada proses kepengarangan Mawar Shafei. Teknik sebegini menyuguhkan kesabaran terhadap pembaca untuk terus membaca cerpen-cerpennya.

(Kasut Hitler 1996: x)

            Watak Nel merupakan seseorang yang telah meninggal dunia akibat runtuhan kondominium yang didudukinya. Roh Nel telah berkeliaran melihat kembali apakah sahabat-sahabatnya yang selama ini mendakwa diri mereka mencintai alam sekitar dengan mengguna semula kertas yang mahu dibuang, tidak menggunakan tisu. Ternyata roh Nel melihat sahabat-sahabatnya tidaklah sebegitu yang diharapkan.
(Mawar Safei, 2014: 51-52)

            Untaian Rafik juga telah menggunakan latar benar kejadian runtuhan Highland Towers. Judul cerpen ini membawa antara maksud hubungan (untaian) persahabatan (rafik) yang berpanjangan.

(Mawar Safei, 2014: 52)

            Berdasarkan pengalaman Dr. Mawar Safei sendiri yang pernah bergelar mahasiswa, beliau selalu memberitahu para pelajarnya bahawa tiada alasan tiada idea, tiada ilham, bila diminta menyediakan karya. Menurut beliau dalam buku Inilah Karangan Saya: Narasi Penciptaan Cerpen, sebagai mahasiswa yang bergulat dengan dunia ilmu, mengikuti pelbagai kursus di universiti sama ada yang bersifat kurikulum atau ko-kurikulum, banyak bahan yang boleh didapati untuk dijadikan sumber cerita. Sumber itu pula kebanyakannya berfakta, maka ia akan mudah diadun kerana sudah ternyata benar. Menjalani kehidupan di kampus, jauh daripada keluarga, bertemu dengan sahabat baru atau kemudiannya bertemu dengan teman jiwa, itu semua boleh menjadi bumbu atau inti cerita yang menarik untuk diadun. Malah menurut Dr. Mawar Safei, ini antara petua awal kepada calon penulis iaitu menggunakan sudut pandangan pertama yang mudah dikawal dan bayangkan itulah diri kita.

            Sebagai penutup bicara untuk entri kali ini, kami dapat menyimpulkan bahawa sesuatu karya yang baik juga boleh terhasil melalui adunan laras bahasa berlainan bidang. Di mana ia mampu menghasilkan suatu kelainan dalam sesuatu karya yang dihasilkan.