SETIAP INSAN MEMPUNYAI KELEBIHAN YANG BERBEZA. JANGAN PERNAH RASA RENDAH DIRI. TERUS BANGKIT. KERANA SETIAP INSAN ADALAH ISTIMEWA

Friday 20 November 2015

"Marisa @ Merdeka"



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kita akan teruskan kupasan cerpen yang dimuatkan di dalam buku Inilah Karangan Saya : Narasi Penciptaan Cerpen karya Dr. Mawar Safei dengan karya yang seterusnya iaitu cerpen Marisa @ Merdeka. Cerpen Marisa @ Merdeka ini telah disiarkan di dalam Mingguan Malaysia pada 23 Ogos 1998 dan telah memenangi Hadiah Sastera Utusan Melayu - Public Bank pada tahun 1998. Cerpen ini bertemakan kemerdekaan namun, tidak seperti cerpen kebiasaan kerana Dr. Mawar Safei memaparkan suatu penceritaan yang berbeza yang membawa tema kemerdekaan.

           Watak di dalam cerpen ini ialah Marisa, seorang wanita berbangsa Russia yang berkahwin dengan seorang lelaki Malaysia (tidak diberi nama) ketika lelaki ini mengajar Bahasa Melayu di Russia. Marisa telah mengikut suaminya pulang ke Malaysia dan mengajar di universiti. Cerpen ini mengisahkan Marisa yang ingin bebas apabila dia diarahkan untuk memberhentikan sub persembahan teater tradisional sempena Hari Kemerdekaan Negara kerana  dikatakan membaurkacaukan seni lama. Marisa merasakan dirinya tidak bebas untuk berkarya. Dia berfikir adakah disebabkan dia berbangsa Russia maka karya dan usahanya dihalang.

"Saya kecewa, kanda. Makna diri yang sewajarnya punya rasa bebas, rasa merdeka, tiba-tiba diragut hebat. Saya tidak lagi mengerti sebenarnya. Fakulti menerima surat daripada panel, sub persembahan teater tradisional sempena Hari Kemerdekaan Negara saya diarahkan dihentikan serta merta. Saya dikatakan membaur kacau seni lama hanya itu sesungguhnya." 
(Mawar Safei, 2014 : 78)

         Kisah diteruskan dengan menceritakan latar belakang Marisa dan harapan Marisa terhadap kandungannya supaya dapat merasai kebebasan. Cerpen ini diakhiri dengan latar persembahan wayang kulit yang memaparkan gaya tradisional. Ketika ini Marisa amat menghargai seni yang dilihatnya dan membayangkan adunan dalam seni itu digarapkan di dalam pembangunan negara. Hal ini dapat dilihat bahawa Marisa amat mengharapkan kebebasan dan jiwa merdeka dalam diri setiap rakyat.

"Kanda, cerita diadun begitu mesra seperti bersatunya bumbu persembahan bertih, beras kunyit, tiga piak sirih pinang, air bunga melur. Alangkah indah melihat secara halus dan berseni kehidupan manusia multi negara kita yang tidak pernah lalai menghargai jiwa merdeka mereka."
(Mawar Safei, 2014: 80)

         Maka dapatlah disimpulkan bahawa cerpen yang dihasilkan oleh Dr. Mawar Safei ini memberi kelainan dalam memaparkan erti kebebasan yang sebenar. Tidak sekadar bebas daripada penjajahan bangsa luar sebaliknya turut bebas dari aspek jiwa dan minda.


No comments:

Post a Comment